Seorang Guru Nyaris Maut Ditetak

Rakaman kejadian melalui CCTV jiran mangsa yang telah dirakam

Seorang guru wanita nyaris maut ditetak dengan sebilah parang oleh sekumpulan perompak dalam kejadian di Jalan Amzil, Taman Melewar tengah hari semalam yang menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM8, 800 itu.

Kejadian itu telah dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) milik jirannya yang telah dilakukan oleh empat orang penjahat lelaki menaiki dua buah motosikal berwarna hitam.

Dalam tempoh satu minit sahaja, dua perompak itu dipercayai warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an telah menyerbu ke arah mangsa sementara dua lagi bertindak untuk mengawasi keadaan sekeliling di depan pintu pagar rumah guru itu.

Mangsa yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Methodist Sentul, Nazalina Nawawi, 36, berkata bahawa pergelutan itu berlaku di dalam kereta apabila penjenayah itu merentap gelang tangan bernilai RM1, 200 dan telah menyelak tudungnya untuk mengambil rantai leher.

Bagaimanapun , dia tidak memakai rantai leher menyebabkan perompak itu bertindak untuk merampas beg tangan yang mengandungi wang tunai hasil perniagaan kedai buku milik suaminya sebanyak RM6, 500 dan sebuah telefon bimbit jenama Blackberry bernilai RM1, 100 itu.

Disebabkan enggan melepaskan beg tersebut, Nazalina diheret ke luar kereta sehingga menyebabkan pergelutan dengan penjenayah terbabit. -Kosmo