KEJAYAAN mereka sentiasa menjadi inspirasi kepada penggiat seni di negara ini. Bertahan sehingga 30 tahun lamanya, ini merupakan petunjuk jelas akan kehebatan mereka dalam arena muzik tanah air.
Justeru bagi meraikan ulang tahun kumpulan rock paling berpengaruh ini di pentas hiburan, mereka bakal mengadakan Konsert Fenomena 30 Tahun Search pada 19 November, 3 dan 17 Disember ini di tiga lokasi berlainan.
Konsert tersebut yang berkonsepkan siri jelajah Search memilih Pulau Pinang, Johor Bahru, Johor dan Petaling Jaya, Selangor untuk bertemu para peminat mereka.
Menurut vokalis utama kumpulan ini, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy, penganjuran konsert itu adalah untuk menghargai para peminat yang setia menyokong mereka selama tiga dekad.
“Tempoh 30 tahun bukanlah satu waktu yang singkat. Kami percaya tanpa sokongan padu dari peminat, tidak mungkin Search dapat bertahan sehingga hari ini.
“Maka itulah, penganjuran siri jelajah konsert ini dilihat bakal menghimpunkan semula peminat Search dari awal penubuhan kumpulan kami ini sehingga ke generasi kini,” katanya pada sidang akhbar ketika mengumumkan penganjuran Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Annex Gallery, Kuala Lumpur, baru-baru ini.