Wanita Hamil 6 Bulan Didakwa Mengambil Dadah

Walaupun hamil enam bulan wanita itu tetap didakwa di Mahkamah Majistret semalam kerana mengambil dadah jenis Methamphetamine di rumahnya di Jalan Pasir Panjang.

Noradila Arifin, 30, yang kini sedang mengandung anak ketiganya telah disahkan positif syabu dan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2002) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tiga bulan dan denda tidak lebih RM5, 000.

Ibu dua anak itu tidak memberi sebarang pengakuan ketika dakwaan dijalankan.

Inspektor Ngiam Ooi Ming dihadapan Majistret Noradila Ab Latif dan tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan itu sedang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Noradila telah dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1, 300 dan menetapkan 2 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sehingga jam 3 petang semalam, tertuduh belum membayar jaminan dan jika tiada penjamin dia akan ditahan di Penjara Wanita Pengkalan Chepa, Kelantan.

Mengikut kes, tertuduh telah ditahan bersama suaminya yang berusia 32 tahun di rumah mereka di Jalan Pasir Panjang kira-kira jam 5.32 petang kelmarin selepas sepasukan 11 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu melakukan serbuan ke rumah itu hasil maklumat awam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, ujian air kencing telah dijalankan dan mendapati suami tertuduh disahkan positif syabu dan pil kuda.

Menurutnya lagi, suaminya itu telah mengambil sebiji pil kuda setiap hari dengan anggaran perbelanjaan RM30 sehari manakala isterinya ketagih syabu dan membelanjakan kira-kira RM400 sehari untuk mengambil dadah itu. –Berita Harian