Menurut laporan Berita Harian, jam 8 pagi esok konvoi program kembara dan memancing sambil santai “Boat On The Road (BOTR) akan berlepas dari perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama ke Tasik Kenyir untuk merebut hadia keseluruhan RM116,000 yang ditawarkan penganjur.
Selaku tuan rumah, Menteri Besar , Datuk Seri Ahmad Said telah meletakkan harapan peserta BOTR dapat mengutip pengalaman baru dan menikmati keindahan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, sekali gus memburu kejuaraan yang telah disediakan.
Beliau berkata yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO disini semalam, kerajaan negeri berbesar hati kerana Tasik Kenyir sekali lagi akan gamat dengan kemeriahan peserta BOTR dan yakin, peserta akan memperoleh pengalaman dan kegembiraan sepanjang program itu.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Wan Muda yang mempengerusikan Mesyuarat Pelarasan Akhir BOTR2011 dengan pelbagai agensi kerajaan di Wisma Darul Iman semalam berkata penganjur bersetuju melanjutkan tempoh memancing pada hari terakhir kepada jam 1 tengah hari daripada jam 10 pagi.
Peserta BOTR juga akan diraikan dengan persembahan hiburan dan santai sementara menunggu majlis penutup dan penyampaian hadiah yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar jam 4 petang, ahad ini.
Juara kategori kumpulan bakal membawa pulang wang tunai RM30,000, naib juara RM15,000 dan RM10,000 untuk tempat ketiga, manakala juara kategori individu (Boat House) RM12, 000; kedua RM 8, 000 dan ketiga RM 5, 000.