Malaysia sasar IPv6 sedia akhir tahun depan – Rais

CYBERJAYA 8 Jun – Malaysia menyasar Protokol Internet versi 6 (IPv6) siap untuk sektor awam pada akhir tahun dan bagi seluruh negara menjelang akhir 2012, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, perpindahan daripada IPv4 kepada IPv6 perlu disiapkan pada masa yang sesuai dan sebelum kumpulan alamat IPv4 yang diperuntukkan kepada Malaysia dipenuhi, yang kira-kira dalam masa 18 bulan.

Kementerian dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), merupakan dua agensi kerajaan pertama bersedia dengan IPv6 sejak tahun lepas.

“Untuk Malaysia kekal kompetitif, adalah penting kita bersedia dengan IPv6 secepat mungkin.

“Dengan kadar penembusan jalur lebar pada 75 peratus disasarkan pada 2015, adalah penting juga bagi kita untuk menangani isu IPv4 yang kehabisan, bagi mengekalkan pengalaman Internet tanpa gangguan di Malaysia.

“Adalah penting untuk memastikan terdapat gangguan yang minimum kepada pengguna Internet semasa negara beralih kepada IPv6,” kata beliau semasa berucap pada malis sambutan Hari IPv6 Sedunia dan Seminar Peralihan IPv6 di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini hari ini. – Bernama

Credit to: http://www.utusan.com