Rayuan Buat Anuar Pada 6 Julai

Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keengganan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah untuk menarik diri daripada mendengar perbicaraan liwatnya telah ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 6 Julai ini.

Menurut peguam Anwar, Sankara Nair, beliau diberitahu mengenai tarikh itu oleh pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan semalam.

Pada 6 Jun lalu Zabidin telah menolak permohonan kali ketiga ketua pembangkang itu supaya beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya selepas memutuskan bahawa tidak terdapat merit terhadap permohonan berkenaan.

Anwar, 63, telah membuat permohonan itu kerana mendakwa Zabidi telah membuat keputusan awal kesnya dengan menerima keterangan saksi utama pendakwaan Mohd Saiful Bukhairi Azlan sebagai keterangan benar.

Bagaimanapun, Mohd Zabidin membenarkan permohonan Anwar supaya perbicaraan itu ditangguhkan sehingga keputusan rayuan dibuat. – Berita Harian