Lebih 40 Keluarga Hampir Hanyut

Hakisan tebing sungai yang merungsingkan penduduk itu

Kini lebih 40 keluarga Orang Asli di Pos Sendrop berada dalam keadaan bahaya apabila rumah mereka terdedah dengan tanah runtuh berikutan hakisan tebing sungai yang teruk sejak seminggu lalu.

Apabila hujan lebat, keluarga Orang Asli itu terpaksa meninggalkan kawasan itu kerana bimbang rumah akan menyembah bumi dan dibawa arus deras sehingga mengancam nyawa.

Masalah hakisan tebing sungai ini bukan baru tetapi sudah bermula sejak setahun lalu dan keadaan semakin serius sejak minggu lalu.

Menurut tinjauan Berita Harian mendapati bahawa tebing sungai itu hanya tinggal dua meter sahaja daripada rumah penduduk Orang Asli dan pokok buah-buahan yang berhampiran sungai sudah tumbang disebabkan hakisan itu.

Menurut Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Sendrop, Rashid Akoh, kejadian terbaru telah menghantui penduduk sejak seminggu lalu apabila gegaran kuat berlaku kerana tebing sungai runtuh dilanda arus sungai.

Sambungnya lagi, kejadian itu telah berlaku sejak 10 malam yang lalu apabila hujan lebat sebelum penduduk terdengar bunyi dentuman kuat terbing sungai runtuh dibelakang rumah sebelum mereka bertindak keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Rashid sudah beberapa kali membuat laporan sebelum ini tetapi dia hairan dengan sikap pihak tertentu yang hanya membisu berhubung masalah ini dibangkitkan.

Menurut seorang penduduk Orang Asli pula, Jali Pandak, 67, kejadian hakisan tebing sungai itu berikutan pengusaha kebun sayur yang telah mengalirkan aliran sungai menghampiri tebing penempatan penduduk Orang Asli itu. –Berita Harian