Pemandu Van Maut Terperosok Di Bawah Treler

Seorang pemandu van maut apabila telah melanggar belakang treler yang sarat membawa kayu bergegaji di kilometer 231, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Pedas-Linggi awal pagi tadi.

Menurut jurucakap polis, Hassan Ahmad Supadi, 39, yang telah cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia ditempat kejadian dan mayatnya akan dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat.

Kejadian itu telah berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika kedua-dua kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke utara.

Akibat pelanggaran itu, van mangsa telah terperosok di belakang treler.

Sekumpulan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit

Sebelum itu pasukan bomba terpaksa menggunakan “winch” kenderaan bomba untuk menarik keluar van yang terperosok di bawah treler dan menurut pemandu treler, P Raja, 52, beliau dan rakannya yang sedang dalam perjalanan dari Labis, Johor ke Kapar, Klang telah menyedari kemalangan itu apabila tiba-tiba terdengar bunyi hentakan dan letupan di belakang treler.

“Lalu saya memberhentikan treler di lorong tepi lebuh raya dan keluar melihat sebuah van telah terperosok di belakang treler, saya juga tidak dapat membantu mangsa kerana mangsa telah tersepit.” katanya. –Berita Harian