Kylie Minogue Menyalahkan Kesesakan Lalu Lintas Punca Kelewatan Konsertnya

Kylie Minogue, Diva pop Australia telah menyalahkan kesesakan teruk lalu lintas di Jakarta sebagai punca beliau lewat muncul dalam sebuah konsert di ibu negara Indonesia itu.

Menurut promoter beliau, penyanyi terbabit telah menggunakan sebuah helikopter untuk ke persembahan pada hari Isnin lalu di pinggir Jakarta tetapi kru persembahannya terperangkap dalam kesesakan menyebabkan konsert terbabit terpaksa ditangguhkan kira-kira 30 minit.

Menurut pegawai pemasaran MP entertainment, Rosana Wahyuni bahawa konsert Kylie Minogue itu bermula kira-kira setengah jam lewat disebabkan kesesakan lalu lintas di jalan bertol.

Dia juga berkata, perkara ini tidak menjadi masalah kerana sebahagian daripada 5, 000 penonton turut terlewat untuk menyaksikan konsert The Show Girl Returns- Kylie Minogue’s Aphrodite Tour 2011.

“Malah ada beberapa penonton juga yang tiba selepas persembahan konsert itu berakhir.” Kata Wahyuni.

Jakarta yang memang terkenal dengan kelemahan sistem pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas yang teruk, berikutan masalah rasuah dan perancangan yang lemah sejak sekian lama.

Bagi menangani masalah kelewatan pemimpin politik dan perniagaan kadang kala terpaksa menggunakan helikopter untuk menghadiri mesyuarat, begitu juga pegawai Indonesia yang turut diiringi polis trafik. –Berita Harian